Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Maishince Academy menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) yang membuka peluang kepada mereka yang ingin menyambung pelajaran di tahap Diploma Profesional dalam Kejuruteraan Blockchain.
Majlis menandatangani perjanjian menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP menandatangani perjanjian bagi pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) manakala pihak Maishince Academy diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Khairoul Nazim. Turut hadir untuk menyaksikan majlis ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Dato’ Dr. Amiruddin dan juga Pengarah dan Pengasas Bersama Maishince Academy, Ahmad Bukhari Roslan.
Cybersecurity Malaysia adalah penganjur bersama bersempena majlis Forum BlockTech 2021 yang menjemput ramai pakar daripada Malaysia, Singapore, Perancis, Rusia dan China untuk mengupas topik menarik mengenai ciri-ciri blockchain, non-fungible token (NFT) dan matawang kripto.
Projek Diploma Profesional Blockchain ini merupakan program yang pertama di Malaysia, lengkap dengan modul akademik merangkumi cara membangunkan seni bina, teknologi dan pengaturcaraan blockchain, yang akan membantu graduan dalam mencipta solusi blockchain mereka sendiri untuk industri. Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang blockchain.
Dalam ucaptamanya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menyebut kepentingan majlis menandatangani perjanjian itu bagi kedua-dua pihak yang terlibat, berkata bagaimana “kerjasama antara Universiti dan industri mesti diperkukuh.”
“MoU ini memberi komitmen kepada kami untuk bekerjasama lebih rapat ke arah matlamat bersama kami, usaha untuk membangunkan hubungan dan perkongsian bermakna antara industri dan akademik di bawah agenda Akademia-Industri.”
Beliau juga menekankan peranan Universiti dalam membuka jalan kepada inisiatif yang lebih besar, apatah lagi, menyediakan platform untuk melahirkan pakar dan meneroka pelbagai peluang penyelidikan dan kajian.
Bersama Maishince Academy, UMP “komited untuk menyokong pembangunan dan kemajuan teknologi blockchain dengan memulakan inisiatif sebagai universiti pertama di Malaysia yang menawarkan Diploma Profesional dalam Kejuruteraan Blockchain.”
Sebagai teknologi yang pesat membangun di Malaysia, blockchain mempunyai banyak faedah yang patut diceburi. Blockchain boleh ditakrifkan sebagai lejar yang mengandungi semua urus niaga lepas yang diduplikasi dan diedarkan merentasi semua sistem komputer dalam rangkaian.
Kelebihan teknologi sedemikian ialah ia menjadikan data selamat, tidak berubah, diedarkan, sebulat suara, dan boleh diprogramkan untuk disesuaikan dengan setiap pihak. Selain itu, ia juga boleh diaplikasikan dalam pelbagai industri dan sektor, serta mewujudkan peluang yang luas kepada semua untuk memperoleh sesuatu yang bermanfaat daripada teknologi tersebut.