Ini adalah soalan yang sering ditanyakan oleh ramai orang apabila kita mula nak berdagang di pasaran saham. Tidak dinafikan, pasaran saham ini memang boleh menguntungkan sekiranya kita berdagang dengan strategi dan analisis yang betul.
Tetapi, sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, mari kita sama-sama selami terlebih dahulu apa itu IPO?
IPO ataupun dalam maksud penuhnya adalah “Initial Public Offering” adalah satu tawaran saham yang diberikan oleh sebuah syarikat kepada orang ramai untuk memiliki saham syarikat tersebut. Selalunya, IPO ini ditawarkan apabila syarikat tersebut ingin membuat pelancaran saham di Bursa Saham.
Jadi, mengapa IPO ini perlu bagi sesebuah syarikat?
IPO ini perlu bagi sesebuah syarikat kerana syarikat tersebut memerlukan suntikan tambahan modal dalam operasi syarikat tersebut. Apabila sesebuah syarikat ingin berkembang, syarikat tersebut memerlukan suntikan atau tambahan modal bagi membantu mereka untuk terus berkembang. Hal ini menyebabkan mereka membuka peluang kepada orang ramai untuk melabur di syarikat mereka menerusi tawaran pegangan saham. Orang ramai boleh melabur kepada syarikat tersebut dan akan diberikan beberapa unit saham syarikat sebagai gantinya.
Adakah kita sebagai pelabur runcit ini boleh membuat keuntungan melalui pembelian saham IPO?
Jawapannya adalah YA dan TIDAK.
Anda boleh membuat keuntungan yang berlipat kali ganda dengan pembelian saham IPO dengan syarat anda menyelidik sepenuhnya prestasi syarikat tersebut dan potensi mereka untuk berkembang melalui projek ataupun model perniagaan mereka samada stabil ataupun tidak.
Berdasarkan daripada sejarah dan rekod sebelum ini, dianggarkan secara purata lebih kurang 80% syarikat yang menawarkan IPO kepada pelabur akan membuat keuntungan daripada harga yang ditawarkan. Sekiranya anda adalah pelabur yang inginkan keuntungan yang pantas, apabila anda membeli saham IPO ini, anda boleh menjual semula dalam tempoh yang pendek apabila harga saham itu meningkat naik setelah disenaraikan.
Memang ada di kalangan pelabur saham yang memang digelar sebagai “Pelabur IPO” yang mana mereka ini hanya mensasarkan untuk membeli saham-saham berkaitan IPO sahaja. Apabila adanya saham IPO, maka mereka akan terus membeli unit saham tersebut dan terus menjualnya pada keesokan hari pada harga yang lebih tinggi daripada harga beli mereka.
Tetapi, harus diingat, saham IPO ini tidak menjanjikan keuntungan 100%. Ini kerana, ada juga beberapa saham yang setelah disenaraikan, mengalami kejatuhan harga berbanding harga yang ditawarkan semasa IPO. Ini yang mewakili 20% daripada jumlah penyenaraian saham IPO sebelum ini.
Kejatuhan ini boleh disebabkan beberapa faktor seperti keyakinan pelabur yang rendah terhadap syarikat atau pun model perniagaan yang kurang meyakinkan serta beberapa faktor lain yang menyebabkan para pelabur mula membuang harga dan ingin menjual secepat mungkin pegangan saham mereka. Dan sebagai pelabur runcit, adalah suatu risiko besar buat kita untuk terus memegang unit saham yang harganya semakin jatuh setiap hari dan disarankan untuk menjual saham ini juga secepat mungkin.
Bagaimana nak beli saham IPO ini?
Ada beberapa cara untuk beli saham IPO ini. Yang pertama adalah melalui laman web MITI secara terus. Untuk membeli di lama web MITI ini boleh layari URL di bawah ini :
https://sahamonline.miti.gov.my/
Ataupun cara yang lain boleh beli secara terus melalui perbankan online Maybank2u ataupun di CIMB Clicks.
Apabila anda login perbankan internet kedua-dua bank ini, anda boleh pilih menu “Investment” dan akan ada pilihan untuk anda membeli saham IPO yang ditawarkan.
Secara asasnya, pelaburan saham adalah satu instrumen yang sangat baik untuk orang ramai libatkan diri kerana ini adalah secara tidak langsung dapat merancakkan lagi ekonomi dan pertumbuhan sesuatu syarikat itu dalam kitaran ekonomi negara. Sebagai pelabur, adalah menjadi tanggungjawab kita terlebih dahulu untuk menyelidik dan membaca model perniagaan dan juga potensi sesebuah syarikat itu sebelum melabur. Jangan terlalu mengikut “signal” ataupun saranan rakan-rakan dalam membeli sesuatu unit saham itu.
1 thought on “Adakah Saham IPO Menguntungkan?”