Pastinya ramai yang mengenali nama Warren Buffet ini. Warren Buffet adalah salah seorang individu yang terkenal di seluruh dunia melalui keupayaannya menjadi salah seorang individu terkaya di dunia melalui portfolio pelaburan beliau.
LATAR BELAKANG WARREN BUFFET
Warren Buffet dilahirkan di Omaha pada tahun 1930. Beliau menunjukkan minat dalam dunia pelaburan dan juga pasaran saham sejak di usia muda lagi. Buffet memulakan pendidikan awalnya di Wharton School di University of Pennsylvania sebelum kembali semula ke University of Nebraska, di mana beliau menamatkan pengajiannya dan menerima “undergraduate degree” dalam bidang pentadbiran perniagaan. Buffet kemudiannya menyambung pengajian di Columbia Business School dan menerima ijazah dalam bidang ekonomi.
Buffet memulakan kariernya sebagai jurujual pelaburan pada awal 1950’an dan kemudiannya menubuhkan Buffet Associates pada tahun 1956. 9 tahun kemudian, beliau telah maju setapak lagi apabila telah menguasai majoriti pegangan saham dalam Berkshire Hathaway. Kini, ( Januari 2022) Berkhshire Hathaway adalah syarikat yang menawarkan harga pegangan saham paling mahal di dunia yang bersamaan dengan USD 458,675 untuk satu syer. Nilai kekayaan Warren Buffet dianggarkan bernilai sebanyak USD 117.4 billion.
APA RAHSIA KEJAYAAN PELABURAN WARREN BUFFET?
Pasti kita sering tertanya-tanya, apa yang dilakukan oleh Warren Buffet sehingga mencapai kekayaan setinggi itu? Apakah analisa pelaburan syarikat dan juga saham yang dijalankan oleh beliau? Semua ini ada didedahkan oleh beliau menerusi “Falsafah Pelaburan Buffet”.
Buffet sentiasa mementingkan nilai sesebuah syarikat yang ingin beliau labur itu samada mampu pergi lebih jauh atau akan karam di tengah jalan. Beliau sentiasa percaya dengan pelaburan yang dibuat oleh beliau seharusnya mampu membantu syarikat itu untuk membuat keuntungan dan boleh pergi lebih jauh lagi dalam perniagaan. Beliau sentiasa memegang 5 falsafah ini sebelum membuat pelaburan atau membeli saham sesebuah syarikat yang mungkin kita boleh jadikan panduan :
1.PRESTASI SYARIKAT
Walaupun nampak macam mudah, tetapi ini adalah perkara paling asas untuk keputusan pelaburan yang dibuat oleh Buffet. Beliau sering akan melihat “Return on Equity ” ( ROE) sesebuah syarikat. Bagaimana nak mengira ROE ini ?
ROE = Pendapatan bersih / Ekuiti Pemegang Saham
Untuk mengira ROE ini tidak cukup sekadar melihat pada ROE tahun lalu sahaja, tetapi sebaiknya adalah sekurang-kurangnya 5 ke 10 tahun ke belakang. Sekiranya nilai ROE ini bagus, barulah kita boleh tinjau indikator kedua ini pula
2. HUTANG SYARIKAT
Ada satu terma yang digunakan iaitu “Debt-to-equity ratio (D/E)” yang digunakan untuk mengira ratio hutang syarikat berbanding aset. D/E ini boleh dikira menggunakan formula di bawah :
Debt-to-equity ratio = Jumlah liabiliti/ Ekuiti Pemegang Saham
Ratio ini akan menunjukkan jumlah ekuiti dan juga hutang syarikat yang digunakan untuk membiayai aset syarikat. Sekiranya semakin tinggi ratio yang kita dapat, bermaksud semakin tinggi hutang syarikat yang digunakan untuk membiayai aset dan juga operasi perniagaan. Kita mencari ratio yang rendah dalam formula ini kerana sekiranya ratio tinggi bermakna hutang juga tinggi yang secara tidak langsung membawa kepada jumlah “interest” yang tinggi yang perlu dibayar balik kemudian.
3. MARGIN KEUNTUNGAN
Perniagaan yang baik adalah perniagaan yang memiliki margin keuntungan yang tinggi. Dan margin keuntungan ini mestilah sentiasa meningkat setiap tahun. Cara untuk mengira profit keuntungan ini adalah = Jualan Bersih / Pendapatan Bersih.
Untuk dapatkan indikator yang baik, pelabur diingatkan untuk melihat ratio jumlah profit margin ini sekurang-kurangnya 5 ke 10 tahun ke belakang.
4. APAKAH SYARIKAT INI ADALAH SYARIKAT AWAM ? ( PUBLIC COMPANY)
Ini adalah indikator paling penting dalam strategi pelaburan Warren Buffet. Beliau akan pastikan setiap syarikat yang akan beliau labur mestilah sekurang-kurangya telah berada di pasaran minimum 10 tahun. Bagi beliau adalah sangat penting untuk sesuatu syarikat itu mempunyai sejarah perniagaan yang lama dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan.
Bagi Buffet, beliau tidak akan melabur dalam “start-up company” atau yang berpaksikan kepada teknologi digital pada peringkat awalan. Ini kerana beliau tidak mempunyai pengetahuan atau pendedahan kepada potensi perniagaan tersebut dan apa sahaja boleh berlaku dalam waktu terdekat.
5. KEBERGANTUNGAN KEPADA KOMODITI
Warren Buffet selalunya akan berganjak ( walaupun tidak selalu) terhadap syarikat yang terlalu bergantung kepada komoditi seperti minyak dan gas. Bagi beliau, untuk sesebuah syarikat itu berjaya, mestilah boleh menawarkan kelainan dan variasi dalam produk mereka. Sekiranya mereka terlalu bergantung kepada satu industri semata-mata dan tidak terlalu berbeza dengan pesaing mereka, adalah sukar untuk mereka terus bertahan lama dalam industri dan membuat keuntungan dalam perniagaan.
5 strategi di atas adalah antara indikator atau langkah yang sering diambil oleh Warren Buffet sejak tahun 50’an lagi hingga kini. Beliau sendiri tidak terlalu mengambil pusing dengan prestasi atau keadaan pasaran saham di bursa kerana bagi beliau situasi tersebut tidak memberikan maksud apa-apa. Walaupun keadaan pasaran saham kini dikatakan perlahan dan sedikit menjunam, jangan bimbang, apa yang penting adalah 5 indikator di atas ini pastinya boleh bantu kita mencari syarikat yang boleh maju dan memberikan pulangan keuntungan pada pelaburan kita pada masa hadapan.