Sejak dari hujung tahun 2021 hingga kini, kita di Malaysia dihantui oleh masalah banjir yang sangat serius di seluruh negara. Biasanya bila sebut masalah banjir ini, selalunya kita akan memandang di pantai timur semenanjung Malaysia, sebab sememangnya setiap tahun masalah banjir adalah sesuatu yang biasa di kawasan sana.
Tetapi, sejak tahun lalu, kita dikejutkan dengan isu banjir yang sangat dasyat di Selangor, Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pula. Banyak yang mula menuding jari terhadap pihak berwajib dan berkuasa atas alasan tidak cekap dalam menguruskan perihal isu banjir ini. Apakah itu solusi yang sebenarnya? Apakah dengan menyalahkan pihak-pihak lain, maka isu banjir ini boleh terselesai dengan sendirinya? Hari ini, kami nak ulas isu banjir ini daripada satu perspektif lain yang jarang disentuh oleh orang ramai, iaitu adakah teknologi yang penuh “hype” seperti Blockchain ini boleh digunakan dalam isu menangani isu banjir ini.
APA ITU TEKNOLOGI BLOCKCHAIN?
Sebelum kita pergi lebih jauh dalam nak memperkatakan teknologi Blockchain ini boleh selesaikan isu banjir, lebih baik kita berkenalan secara ringkas apa itu teknologi Blockchain ini. Teknologi Blockchain ini sering dikaitkan dengan matawang digital atau kripto seperti bitcoin, ethereum dan sebagainya. Sedangkan teknologi Blockchain ini sebenarnya adalah lebih meluas lagi daripada itu.
Teknologi Blockchain ini sebenarnya adalah pada asalnya diasaskan oleh Satoshi Nakamoto ( walaupun identiti sebenarnya masih menjadi misteri hingga kini), merupakan satu “hyper ledger” ataupun pengkalan data yang dikongsikan oleh banyak komputer dalam satu jaringan yang berbeza. Secara dasarnya, kita selama ini didedahkan dengan data yang disimpan atau dikawal dalam satu pusat yang sama ( centralized) , tetapi konsep Blockchain ini adalah setiap data itu akan disimpan dalam setiap jaringan komputer berbeza ( decentralized).
APA KELEBIHAN BLOCKCHAIN?
Antara kelebihan utama Teknologi Blockchain ini adalah dari segi sekuriti dan ketelusan dalam pengurusan data adalah lebih kukuh dan terjamin. Selain daripada itu, kepantasan dalam menghantar maklumat dan penerimaan data adalah lebih laju berbanding sistem biasa yang lebih bertumpu ke arah pengurusan data secara berpusat ini.
Untuk mengulas lebih lanjut tentang bagaimana Blockchain ini berfungsi agak teknikal dan panjang, jadi mari kita lihat apakah dengan teknologi dan aplikasi yang dicapai oleh ramai pihak melalui teknologi blockchain ini boleh menyelesaikan masalah banjir atau bencana di seluruh dunia.
BLOCKCHAIN DAN BENCANA
Sebenarnya, banyak kajian dan tesis telah ditulis berkaitan dengan bagaimana teknologi Blockchain ini boleh bantu menyelesaikan bencana alam ( bukan sahaja banjir, tetapi termasuk gempa bumi dan bencana lain) di seluruh dunia.
Antara kertas kajian yang telah ditulis ini termasuklah Profesor dari University of Florence, Bocconi University, Milan, Colombia University ( sekadar menyebut beberapa nama).
Dalam banyak kertas kajian yang telah dibentangkan, kami tertarik untuk mengulas satu tesis atau kertas kajian yang dibentangkan oleh Research Institute for Infra, Tokyo Japan.
Kertas kajian yang ditulis ini bertajuk “Smart Dam : Upstream Sensing, Hydro- Blockchain, and Flood Feature Extractions for Dam Inflow Prediction”. Pasukan dari Jepun ini telah membuat kajian berdasarkan kes banjir besar dan juga bencana yang sering berlaku di Jepun.
Melalui data yang telah dikumpul oleh mereka, adalah sangat penting untuk kita menjangkakan sesuatu bencana banjir itu sebelum berlaku. Jangkaan ini boleh dibuat melalui model gabungan “smart dam“, blockchain dan juga “machine learning“.
Apa yang ingin dicapai adalah, kita seharusnya boleh menjangkakan lebih dahulu banjir ini bila berlaku sebelum benar-benar terjadi. Melalui jangkaan yang lebih awal, kita akan dapat membuat persediaan yang lebih rapi seperti pengosongan kawasan banjir, membuat saliran untuk melencongkan limpahan air banjir, pembinaan terowong khas untuk saliran banhir, pemantauan sistem saliran perparitan kawasan dan sebagainya.
Melalui pembinaan model “smart dam” ini, kita akan dapat mengumpul data yang lebih tentang paras air dengan lebih tepat dan secara “real time”. Pengumpulan data ini akan dijalankan menggunakan aplikasi teknologi Blockchain, yang mana data yang lebih meluas, pengurusan data yang lebih pantas dan laju, serta perkongsian data yang lebih meluas boleh dicapai sehingga ke peringkat orang awam juga boleh akses kepada data-data ini.
Langkah seterusnya adalah dengan mengimplikasikan “machine learning process” untuk menganalisa data-data ini secara lebih mendalam untuk kita pelajari dengan lebih tepat corak taburan banjir, laluan air, kawasan tadahan dan juga punca utama air mula melimpah sehingga menyebabkan paras banjir ini meninggi dan menyebabkan kadar kerosakan yang teruk di bahagian bandar utama.
Peringkat pertama ini adalah sangat penting untuk kita analisa data terlebih dahulu di mana kelemahan kita dalam menguruskan banjir ini. Selepas setiap data ini dikumpul dan kita telah mengenalpasti kawasan dan punca utama berlakunya takungan air yang tinggi, maka di situlah peringkat kedua pembangunan pencegahan banjir ini boleh dijalankan. Dengan membina “smart tunnel”, laluan lencongan takungan air banjir, pembinaan kawasan tadahan air kolam, pendalaman sungai boleh dijalankan dengan lebih aktif lagi supaya bencana banjir ini dapat dielakkan.
Pembinaan dan juga pembangunan ini semua sebenarnya boleh kita jalankan melalui pengumpulan data, analisis serta pemantauan secara “real time” melalui aplikasi teknologi Blockchain yang kini telah jauh berkembang pesat. Apakah sistem sedia ada ini tidak boleh buat semua ini?
Jawapannya boleh, cuma melalui teknologi Blockchain, pemantauan data itu lebih laju, pantas dan telus yang mana akses data ini boleh dikongsi kepada banyak pihak untuk sama-sama bantu membangunkan fasiliti yang boleh atasi masalah banjir ini. Walaupun boleh dikongsi oleh banyak pihak, data ini akan tetap selamat dan masih relevan kerana hanya data yang telah diverifikasi dan disahkan sahaja akan menjadi rujukan orang ramai, manakala data yang palsu serta tidak relevan, tidak akan disahkan oleh sistem. Itulah kelebihan teknologi Blockchain !
Sudah tiba masanya kita semua mula melihat segala pilihan yang ada dalam membantu bangunkan semula fasiliti dan kemudahan yang ada di Malaysia ini. Kami percaya, dengan nasihat dan pasukan yang betul, pastinya isu ini dapat ditangani dan diselesaikan dengan jayanya.