Sedar tak sedar dah lebih setahun kita bergelumang berlawan dengan pandemik Covid-19 ini. Tak dinafikan bagi golongan peniaga, lebih ramai yang terkesan menanggung kerugian daripada yang mencatat keuntungan.
Cabaran memang besar. Tetapi, setiap cabaran yang datang itu pastinya datang dengan pakej iaitu peluang. Antara industri yang melonjak naik secara tiba-tiba tak lain dan tak bukan tentulah Peniagaan secara atas talian atau online. Boleh dikatakan hampir 80% peniaga terpaksa berubah ke medium pemasaran online demi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Mengikut data yang dilaporkan, permintaan pembelian secara atas talian ini meningkat hampir 100% berbanding 2019 dan 2018 kerana rata-rata peniaga terpaksa menukar perniagaan mereka ke atas talian. Perkhidamatan penghantaran juga melonjak naik sehinggakan ada syarikat penghantaran terpaksa menutup tempahan kerana tidak mampu untuk melayan tempahan pelanggan yang terlalu banyak berbanding sebelumnya.
Industri latihan peniaga juga turut meningkat kerana ramai peniaga yang mula berdaftar kelas yang menawarkan kursus latihan strategi perniagaan secara atas talian. Platform E-Commerce juga meningkat, boleh dikatakan hampir majoriti agensi kerajaan dan syarikat konglomerat mula membangunkan platform E-commerce masing-masing dan menggalakkan peniaga untuk menyenaraikan produk mereka di platform E-Commerce mereka.
Adakah ini satu petanda yang baik buat peniaga semua?
Waktu ini adalah waktu yang mana kebanyakan peniaga kekurangan pilihan. Samada kita perlu bertukar model perniagaan kita atau berdegil mempertahankan lagi cara berniaga kita selama ini. Jawapan yang paling tepat adalah, kita sedang menuju ke satu era yang mana premis fizikal mungkin menjadi kurang relevan selepas ini. Pembeli akan lebih cenderung untuk melihat laman web, maklumat perniagaan dan produk, gambar produk serta servis berbanding ingin melawat premis fizikal peniaga dalam membeli barang.
Apabila lebih setahun pembeli dididik untuk membeli secara atas talian, kesedaran untuk membeli secara atas talian ini telah dibentuk secara automatik. Pembeli kini lebih selesa membeli secara online berbanding pergi ke kedai untuk membeli. Jadi, peniaga yang sebelum ini tidak pernah terlibat dalam perniagaan secara online, pastinya akan terjejas dan perlu segera bertukar dengan cepat.
Apakah perkara utama yang perlu dibuat untuk peniaga beralih ke arah online?
Antara perkara asas yang perlu ada sudah pastilah peniaga perlu memiliki sekurang-kurangnya Business Page di Media sosial. Sekiranya ingin pergi lebih jauh, wajib perlu miliki laman sesawang sendiri yang memaparkan maklumat berkaitan perniagaan sendiri. Apabila memiliki laman sesawang sendiri ini, pastinya akan menambahkan keyakinan yang lebih berkaitan perniagaan anda dan memudahkan pelanggan untuk membeli servis atau produk anda.
Perkara yang paling penting dalam perniagaan online ini sudah pastilah promosi berterusan yang konsisten ini sangat penting dan perlu dilakukan. Program promosi yang berterusan ini pastinya boleh membantu pelanggan untuk mengenali jenama dan kelebihan produk atau servis anda dengan lebih mendalam lagi.
Pandemik Covid-19 ini tidak akan berakhir dalam waktu yang terdekat ini. Lebih lama lagi kita menunggu, lebih tinggi kerugian yang pastinya akan ditanggung oleh peniaga. Tidak dinafikan, ada sesetengah industri langsung tidak boleh beroperasi pastinya akan terjejas teruk seperti pelancongan, pengangkutan, perancang perkahwinan dan sebangainya. Jadi, apa yang perlu anda lakukan? Ada 2 pilihan, samada bertukar sementara model perniagaan atau pun buat masa ini kumpulkan database pelanggan baru dan tonjolkan jenama perniagaan anda dengan lebih banyak lagi. Percayalah, apabila sektor pelancongan ini dibuka semula, pastinya permintaan untuk melancong ini akan meningkat berpuluh kali ganda kerana rata-rata rakyat Malaysia kini tidak sabar untuk keluar dan pergi bercuti kerana sudah terlalu lama duduk di rumah tidak boleh ke mana-mana.