Bila kita mula nak membeli sesuatu unit saham di bursa, pastinya harapan menggunung kita adalah harga saham ini boleh naik. Pastinya itu adalah sesuatu yang normal bagi semua pelabur di seluruh dunia ini. Formulanya adalah “Beli murah, jual tinggi”.
Akan tetapi, sebelum kita pergi ke topik yang lebih jauh, tahukah anda semua bagaimana harga saham ini boleh naik? Dan bagaimana pula harga saham ini boleh turun pula?
Kita tak perlu pergi jauh sehingga membuat analisa teknikal untuk mendapat jawapannya. Jawapannya mudah sahaja, harga saham ini berubah-ubah kerana disebabkan oleh permintaan dan pembekalan ( “demand and supply”).
Sebagai contoh, apabila anda ingin membeli sesuatu unit saham, pastinya anda akan menawarkan satu harga untuk membelinya. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membeli saham X pada harga RM1.10 seunit, mestilah ada seseorang yang memiliki unit saham itu yang ingin menjual saham tersebut pada harga RM1.10 seunit. Sekiranya tiada orang langsung orang yang ingin menjual saham pada harga itu, maka anda tidak dapat membeli saham tersebut.
Disebabkan anda memang mahukan saham tersebut, maka anda akan terus menawarkan harga yang lebih tinggi, iaitu pada harga RM1.50 seunit. Apabila ada pihak yang bersetuju untuk menjual pada harga tersebut, maka pemilik saham tersebut akan bertukar tangan kepada nama anda pula.
Inilah contoh paling mudah. Pelaburan saham ini sebenarnya adalah sama seperti berjual beli di pasar sebenarnya. Ada tawar menawar, semakin banyak yang menawarkan untuk membeli saham tersebut, maka semakin naiklah harga saham itu. Tetapi sebaliknya sekiranya tidak ramai yang ingin membeli sesuatu unit saham itu, maka harga saham itu akan menurun kerana pemilik saham tersebut akan menurunkan harga bagi menarik pelabur lain untuk membeli sahamnya.
Sebenarnya, pelaburan saham ini adalah sangat berkait rapat dengan asas perniagaan. Itulah sebabnya kenapa amat digalakkan untuk seseorang menjadi pelabur ini selepas mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perniagaan.
Kenapa?
Kerana apabila anda terlibat dalam bidang perniagaan, anda akan mudah untuk memahami model perniagaan, perkembangan syarikat, strategi dan analisa pasaran dengan lebih tepat lagi.
Tidak dinafikan analisa teknikal juga memainkan peranan yang penting dalam menjangkakan peningkatan dan penurunan harga saham ini, tetapi analisa pasaran yang asas ini perlulah anda kuasai terlebih dahulu dalam memastikan pelaburan anda tidak mengalami kerugian.