Saham ialah pegangan dalam bentuk equity yang mewakili hak milik dalam sesuatu syarikat. Untuk memiliki saham bagi sesuatu syarikat adalah tidak susah. Berbekalkan satu CDS akaun dan akses kepada platform jual beli saham, anda sudah boleh membeli dan memiliki saham daripada syarikat-syarikat yang diminati. Saham boleh dibeli dalam bentuk lot saham dan 1 lot saham mempunyai 100 unit saham. Contohnya, satu unit saham Syarikat A berharga RM1, jadi 1 lot saham syarikat A akan berharga RM100.00 iaitu untuk sebanyak 100 unit saham. Untuk mendapat keuntungan, ada beberapa cara main saham yang selalu dikongsikan oleh pakar-pakar saham. Walaubagaimanapun, terdapat 2 konsep asas untuk mendapatkan keuntungan dalam pasaran saham ialah melalui Capital Gain ataupun Dividen.
Main Saham untuk Capital Gain
Capital Gain adalah pendapatan daripada modal yang telah dilaburkan ataupun lebih dikenali sebagai keuntungan modal. Main saham atau jual beli saham untuk mendapatkan capital gain adalah popular di kalangan pelabur-pelabur runcit. Pelabur runcit mempunyai modal yang terhad untuk mendapatkan dividen yang berbaloi. Maka, melalui capital gain barulah pelabur-pelabur runcit ini berupaya untuk mendapatkan keuntungan yang berbaloi.
Untuk mendapatkan keuntungan melalui capital gain, kefahaman dalam sudut teknikal saham adalah sangat penting. Analisis teknikal menentukan waktu yang paling sesuai untuk membeli dan menjual saham. Jika tersalah masa, dikhuatiri akan menyebabkan kerugian kepada pelabur pula. Jadi, bagaimana keuntungan daripada capital gain ini berfungsi?
Jika hari ini kita membeli saham Syarikat A sebanyak 1,000 unit pada harga RM1 per unit, maka jumlah modal adalah sebanyak RM1000. Kemudian kita pegang saham itu sehingga harganya naik. Selepas 2 bulan, saham Syarikat A telahpun naik sehingga RM1.50 dan jumlah pelaburan kita tadi telahpun bernilai RM1500. Jadi secara langsung kita telahpun mendapat keuntungan daripada pelaburan saham dalam syarikat A sebanyak RM500 dalam masa 2 bulan. Mendapat keuntungan sebanyak 50% dalam masa 2 bulan adalah sangat tinggi dan tidak mustahil jika melalui capital gain dalam pasaran saham.
Dividen Dalam Pasaran Saham
Syarikat yang mempunyai keuntungan kebiasaannya akan memberikan dividen sebagai penghargaan kepada pemegang-pemegang sahamnya. Walaupun begitu, ada juga syarikat yang tidak memberikan dividen walaupun mencatat keuntungan yang tinggi. Syarikat sebegini akan melaburkan semula keuntungannya dalam operasi syarikat dan ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan dalam harga saham.
Cara main saham untuk mendapatkan dividen adalah lebih senang dan tidak banyak analisis yang perlu dibuat. Untuk mendapatkan dividen, boleh rujuk syrikat yang mencatatkan keuntungan ataupun syarikat yang pernah memberikan dividen sebelum ini. Bagaimana pemberian dividen ini berfungsi? Sebagai contoh, anda memiliki 20000 unit saham Syarikat B. Syarikat B mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 4 sen bagi setiap unit saham. Jadi, anda akan mendapat dividen sebanyak RM800 hasil daripada pegangan saham dalam syarikat B.
Kedua-dua cara untuk mendapatkan keuntungan ini dapat dipraktikkan bergantung kepada kesesuaian individu. Dalam pelaburan saham, dapatkan ilmu yang bersesuaian dan praktikkan ilmu selari dengan pengurusan risiko pelaburan.