Sebut sahaja matawang kripto ini, kita pastinya tak boleh lari daripada Bitcoin. Ya, Bitcoin adalah salah satu matawang Kripto yang wujud dahulu sebelum mana-mana matawang Kripto ini dicipta. Sekiranya anda adalah seorang yang memang rajin melabur dan sering mengikuti perkembangan matawang kripto ini, pastinya anda akan tahu bahawa ada banyak istilah yang digunakan berkaitan dengan matawang kripto ini seperti aset digital, matawang digital dan pelbagai lagi. Tidak dinafikan masing-masing memiliki hujah yang tersendiri tetapi apa yang pastinya, matawang kripto ini kini semakin ramai yang mula menggunakannya.
USD83 BILLION
Dilaporkan bahawa sebanyak USD 83 billion dilaburkan/berlegar di pasaran dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia dalam pelaburan matawang kripto seperti yang dilaporkan dalam coinmarket cap.
Matawang kripto ini menjadi pilihan kerana mudah, semua transaksi boleh dijalankan melalui telefon sahaja. Selain daripada itu, transaksi yang dijalankan adalah bersifat tiada sempadan, kerana anda boleh menghantar matawang kripto anda kemana sahaja di seluruh dunia tanpa perlu melalui proses birokrasi yang leceh dan memakan masa. Hanya dalam tempoh 1 jam (atau mungkin kurang,) anda boleh membuat pembayaran atau menghantar wang kripto ke seluruh pelosok dunia mengikut alamat wallet yang ada.
Tetapi ramai juga yang lantang menentang Matawang Kripto ini kerana merasakan bahawa keselamatan aset ataupun wang mereka boleh hilang jika melabur dalam matawang kripto ini. Tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan dengan mencipta skim piramid baru menggunakan matawang kripto ini sebagai sandaran. Ini semua adalah aktiviti yang menjurus ke arah persepsi negatif orang ramai terhadap pembangunan matawang kripto ini.
Jadi, persoalannya sekarang, adakah matawang Kripto ini betul-betul selamat dan boleh digunakan dalam transaksi jual beli?
Matawang Kripto ini sebenarnya boleh kita kaitkan lebih kurang sama dengan sistem barter ataupun komoditi. Apabila anda memiliki sejumlah unit Bitcoin sebagai contohnya, anda sebenarnya memegang suatu aset secara digital ataupun secara maya sahaja. Aset ini tidak ada dalam bentuk fizikal dan apa yang anda miliki hanyalah dalam bentuk nombor dan kod sahaja.
Apakah matawang kripto ini bernilai?
Matawang kripto ini hanya akan bernilai jika ada ramai orang yang mahukannya. Pada awal kemunculannya sekitar tahun 2009, nilai Bitcoin ini memang tidak ada langsung! Tiada siapa yang mahukannya. Tetapi kini, harganya dah mencecah 40,000 USD dan pernah sehingga ke 50,000 USD ! Apa yang menyebabkannya begitu bernilai sehingga begitu sekali?
Jawapannya mudah sahaja, permintaan yang tinggi. Ramai yang nak memiliki Bitcoin tetapi jumlah yang ada di seluruh dunia sangat sedikit. Hanya 21 juta unit bitcoin sahaja ada di seluruh dunia dan berlegar di alam maya. Tetapi orang yang ingin memliki Bitcoin ini sangat ramai melebihi jumlah yang ada yang boleh dimiliki. Hal ini menyebabkan harganya melonjak naik sehingga tak masuk akal.
Dan yang lebih menariknya, taikun perniagaan besar dan juga orang-orang kenamaan juga mula menunjukkan minat untuk memiliki Bitcoin ini dan menyatakan sokongan secara terbuka untuk menggunakannya. Hal ini juga mempengaruhi ramai orang untuk mempercayai fungsinya dan mula melibatkan diri secara aktif untuk melabur dan membeli Bitcoin serta matawang Kripto yang lain.
Adakah Matawang Kripto ini boleh menggantikan wang kertas yang kita ketahui ini sekarang?
Kemungkinannya ada.
Kerana bergerak ke hadapan, orang ramai sudah tidak mahu terikat dengan pergerakan pemindahan wang yang leceh, lambat dan perlu berurusan lama dengan pihak bank. Orang ramai mahu mula melarikan diri daripada bank dan tidak mahu ada satu kuasa yang mengawal pengaliran wang serta perbankan di dunia ini. Mereka mahukan sistem kewangan yang tidak dikawal oleh sesiapa dan setiap orang boleh membuat keuntungan dan mampu menjana pendapatan dengan mudah tanpa melalui sekatan undang-undang yang ketat.
Jawapannya ada dalam sistem matawang kripto. Sistem matawanag kripto bersifat “Decentralized” dan tiada satu kuasa tunggal yang mengawal pengaliran serta nilai matawang kripto tersebut. Semuanya ditentukan oleh orang ramai dan ‘verifier’ yang ramai dalam sistem blockchain tersebut. Lebih ramai “verifier” dalam sistem Blockchain tersebut, maka lebih stabil dan sukarlah berlaku korupsi dalam sistem itu.
Persediaan kita adalah kita juga perlu mempersiapkan diri untuk memastikan kita juga tidak ketinggalan dalam perubahan iklim kewangan dunia ini. Jangan sampai apabila semua orang sudah jauh ke hadapan, kita masih lagi mahu membuat kajian tentang keberkesanan sistem ini untuk digunakan dalam negara kita