Biasa dengar tentang “Peer To Peer”(p2p) platform? Peer to peer (p2p) ini adalah satu platform yang menghubungkan peniaga dan juga pelabur. Sekiranya sesuatu perniagaan itu ingin meraih dana dalam perniagaan mereka, mereka boleh mohon dan senaraikan perniagaan mereka di platform P2P ini bagi menarik pelabur untuk melabur dalam perniagaan mereka.
Mungkin masih ramai lagi yang tidak mengetahui berkaitan dengan platform P2P ini. Tetapi sekiranya anda berminat dan ingin mencari alternatif pelaburan yang lain selain daripada pelaburan saham, kripto, emas atau hartanah, menjadi pelabur di platform P2P ini adalah salah satu portfolio yang anda boleh ceburi juga.
Terdapat lebih kurang 11 platform P2P di Malaysia ini yang telah menerima lesen dan di bawah seliaan Security Commission Malaysia. Berikut adalah senarai 11 syarikat platform P2P tersebut :
- Capitalbay (Bay Smart Capital Ventures Sdn Bhd)
- B2B Finpal (B2B Finpal Sdn Bhd)
- CapSphere (Capsphere Services Sdn Bhd)
- Crowd Sense Sdn Bhd
- *Nusa Kapital (Ethis Kapital Sdn Bhd)
- Alixco (FBM Crowdtech Sdn Bhd)
- *Microleap (MicroLEAP PLT)
- Funding Societies (Modalku Ventures Sdn Bhd)
- Moneysave (M) Sdn Bhd
- Fundaztic (Peoplender Sdn Bhd)
- QuicKash (QuicKash Malaysia Sdn Bhd)
Senarai di atas ini kita panggil sebagai pemilik platform P2P ini yang mana mereka bertugas sebagai penapis projek yang diiklankan atau “live” sebagai kempen dalam platform masing-masing. Ini sebagai salah satu syarat penting yang ditetapkan oleh SC bagi mengelakkan perniagaan yang menipu pelabur dalam operasi mereka.
Berminat nak cuba melabur dalam platform P2P ini ?
- Daftar pada mana-mana platform di atas
- Ada beberapa platform memerlukan anda mendeposit wang anda terlebih dahulu
- Boleh mula mencari mana-mana projek/investment notes. Ada beberapa perkara yang kita boleh lihat daripada investment notes yang diterbitkan:
- Risiko. Pastikan anda baca definisi risiko bagi setiap platform. Ada platform yang membuat pembahagian risiko mengikut A – G yang mana A bermaksud risiko yang terendah manakala G merupakan risiko yang tertinggi. Ada juga yang mengklasifikasikan mengikut rendah, sederhana dan tinggi. Yang penting, anda baca dahulu.
- Pulangan. Berapa peratus yang bakal anda perolehi daripada pelaburan tersebut.
- Tempoh. Setiap investment note berbeza tempoh pelaburan dan projeknya. Pastikan anda mampu untuk hilang sejumlah duit yang anda laburkan dalam tempoh yang ditetapkan oleh investment note tersebut
- Probability of default. Peratus yang issuer/pemilik syarikat akan gagal untuk membayar semula pinjaman mereka daripada kita
- Kita boleh klik untuk melabur pada investment note yang kita rasa yakin untuk melabur
Pelaburan dalam P2P ini boleh dikategorikan sebagai pelaburan yang mempunyai risiko tinggi. Akan tetapi, pulangan daripada pelaburan ini juga agak tinggi sehingga boleh mencecah hampir 18% ! Jadi, sila pastikan anda mengkaji terlebih dahulu potensi sesuatu projek itu terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk melabur dalam projek tersebut.